Friday, October 8, 2010

ujian ALLAH kepada kita

BENTUK-BENTUK UJIAN
Allah menguji manusia dengan pelbagai perkara pelbagai perkara sama ada diuji dengan kebaikan, kesusahan, kesenangan; ketakutan, kelaparan,diuji pada harta,jiwa dan apa juga yang dikurniakan allah kepada mereka. Allah menguji manusia dalam 3 perkara utama iaitu dari segi perintah dan larangannya, kesusahan atau musibah serta kesenangan atau kenikmatan.
Dari segi perintah dan larangannya, Allah menurunkan islam sebagai cara hidup yang mesti dipatuhi oleh semua umat islam, sama ada berbentuk perintah atau laranganNya. Seperti mana yang kita semua tahu bahawa semua perintah Allah merupakan kewajipan agama yang wajib dipatuhi dan tidak dapat diingkari. semua itu merupakan ujian kepada hambaNya, untuk menentukan apakah mereka benar-benar mengakui dan menerima islam seba gai pegangan hidup atau sebaliknya.

Bentuk ujian yang kedua merupakan kesusahan atau musibah. Pelbagai ujian diberikan oleh allah SWT kepada manusia dalam bentuk kesusahan. Antaranya seperti ketakutan, kelaparan, dan kematian. Selain itu,berlaku juga kekurangan, kehilangan jiwa, kemusnahan atau kerosakanharta benda dan sebagainya


Bentuk ujian yang ketiga merupakan kesenangan atau kenikmatan. Allah menganugerahkan manusia dengan pelbagai nikmat dan kurniaan, jika ingin menghitungnya nescaya tidak terhitung nikmat allah SWT yang begitu banyak. Hal ini kerana semua kesenangan dan kenikmatan itu merupakan ujian Allah kepada hambaNya, sejauh mana manusia menggunakannya dengan cara yang betul dan bersyukur

TUJUAN UJIAN
Allah menguji manusia dalam pelbagai bentuk untuk untuk menentukan mereka termasuk dalam golongan yang Berjaya atau gagal. Bagi golongan yang Berjaya, mereka akan memperoleh ganjaran yang baik, sebaliknya bagi golongan yang gagal, mereka akan menerima balasan yang setimpal.
Ujian iman membantu kita untuk menjadi manusia yang sempurna,tidak kekurangan sesuatu apapun. Apakah maksudnya? Menjadi 'sempurna' bukan bererti seseorang tidak lagi membuat kesalahan apapun. Kesempurnaan yang disebutkan di sini berkaitan dengan kedewasaan rohani. Kedewasaan rohani adalah kehidupan yang berlimpah, tidak kekurangan sesuatu apapun - mencakupi hikmat, kuasa dan kasih rohani. Inilah tepatnya makna dari kata 'utuh, tidak kekurangan sesuatu apapun'.
Dengan kata lain, ujian boleh membantu kita berkembang secara rohani menuju kedewasaan. Ujian Allah juga bertujuan untuk menguji keimanan, kesabaran,menguji sama ada manusia bersyukur atau kufur dan menguji siapakahyang lebih baik amalnya.
Selain itu, tujuan ujian Allah juga adalah untuk memberi ganjaran atau balasan syurga. Allah telah berfirman bahawa sesiapa sahaja yang bersyukur dengan nikmat Allah dan menerima dugaan dengan reda akan mendapat ganjaran pahala atau syurga. Ujian juga boleh menjadi sebagai kaffarah dosa .
Orang yang ditimpa musibah atau bala mempunyai sebab musabab kenapa ia terjadi, mungkin untuk menguji keimanannya atau kaffarah dosanya dan yang pasti hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui. Allah juga ingin menguji apakah manusia sanggup menanggung musibah yang menimpanya, menerima dengan reda, sabar, atau menyalahi takdir, merungut dan tidak berpuas hati.
Allah sentiasa menguji kesabaran manusia
Kehidupan umat Islam di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ujian dan cabaran. Allah sentiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian, apatah lagi orang beriman dan kuat beribadat.

Ujian Allah bertujuan menilai sejauh manakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya.

Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah.

Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.

Dalam hubungan ini, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad: ayat 31)

Firman Allah lagi bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2)

Jelas, ujian Allah bertujuan mendidik manusia agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepada Allah.

Nilai keimanan seseorang bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar.

Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan.

Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar.

Bagaimanapun, kebiasaannya ramai kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan.

Malah, apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasaalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar.

Ada pula hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah yang mesti diterima dengan sabar.

Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Siapa yang ingin bersabar, Allah memberikan kesabaran kepadanya. Dia tidak memberikan seseorang yang terbaik dan terluas daripada sabar."

Ditinjau keadaan dunia hari ini, dalam era globalisasi yang dicirikan ruang siber, teknologi maklumat dan digital, umat Islam tidak terkecuali daripada pelbagai masalah, ujian dan cabaran.

Bagaimanapun, pengalaman dan kenyataan menggambarkan ramai antara kita tidak bersabar menempuh ujian dan cabaran. Malah, ada segelintir umat Islam tidak dapat menerima perubahan dan peralihan struktur sosial, ekonomi dan teknologi, yang akhirnya menyebabkan mereka terpinggir dalam penguasaan teknologi.

Ini berkait rapat dengan sikap ketidaksabaran dalam penerokaan ilmu di mana cabaran dan masalah dianggap menyusah atau membebankan.

Dalam pada itu, kita sering mudah tunduk kepada tekanan emosi dan nafsu dalam menghadapi persaingan mengejar kemajuan kerana sikap tidak sabar untuk berkuasa.

Kita tidak sabar dengan nafsu materialisme hingga memilih jalan mudah untuk mencapai kedudukan. Malah, ada yang terbabas daripada tuntutan Islam sehingga mengamalkan perbuatan yang terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa.

Kita juga tidak sabar apabila ditegur atau dikritik walaupun teguran itu untuk kebaikan bersama sehingga mencetuskan krisis berpanjangan. Kita juga tidak sabar apabila diuji dengan sedikit masalah seperti kesusahan, kerugian, kerenah keluarga, pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan menunaikan kewajipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar.

Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.

Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan." (Surah Ali Imran: ayat 186)

Allah berfirman lagi, bermaksud: "Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 155-157)
Ditinjau perjalanan hidup kalangan utusan Allah dan salihin, mereka juga tidak terkecuali daripada ujian dan kesukaran hidup sebelum mencapai kejayaan. Malah, berapa banyak di kalangan mereka yang hidup sengsara dan menderita, tetapi tetap bersabar.

Nabi Adam, Nuh dan Muhammad tidak terkecuali daripada ujian Allah dan kesukaran hidup. Nabi Muhammad sendiri bukan sekadar diuji dengan kesukaran menegakkan Islam tetapi dijanjikan kedudukan dan kemewahan dunia oleh kaum Quraisy sekiranya baginda tidak meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam.

Malah, kronologi peristiwa hijrah baginda seharusnya dijadikan iktibar, bagaimana kesabaran baginda berjaya membina kegemilangan negara Islam.

Allah berfirman melalui surah Asy-Syaffaat ayat 102 mengenai sikap kesabaran Nabi Ismail apabila bapanya Ibrahim mendapat perintah Allah supaya menyembelihnya sebagai korban kepada Allah.

Ismail dengan sabar berkata: "Wahai bapa, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah bapa akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar."
Kita juga sering mendengar riwayat Bilal Rabbah, seorang hamba yang sangat penyabar. Sungguhpun diseksa dan dicaci, beliau tetap bersabar dan imannya tidak pernah berganjak. Kesabarannya mendapat ganjaran di dunia apabila dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan pada akhirnya dijanjikan syurga oleh Allah.

Dalam suatu riwayat lain diceritakan kesabaran Ammar - anak Yassir dan Sumaiyah, ketika berdepan dengan seksaan kaum musyrikin Makkah. Rasulullah ketika melawat keluarga Ammar, bersabda: "Bersabarlah kamu wahai keluarga Yassir, kesabaran kamu akan dianugerahkan balasan syurga."

Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardu kifayah seperti mendalami ilmu pengetahuan, terutama teknologi maklumat agar dapat meningkatkan kehidupan umat Islam dan menjadi umat yang tidak mudah menyerah kalah.

Umat Islam akan memperoleh hidayah dan syafaat berpandukan al-Quran dan al-Hadis serta mencontohi ciri kehidupan kalangan ambia, ulama dan orang yang salih.

Kesabaran seharusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita agar kejayaan dunia dan akhirat akan menjadi milik umat Islam seluruhnya

SIKAP MANUSIA MENGHADAPI UJIAN ALLAH
Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula elatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan ertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda.
Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita, tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).
Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita.
Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Apabiala kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi.

Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak etentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.
Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”
Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut akan mendapat balasan syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah.

Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:

“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”
Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?


KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian. Jadi kita sebagai hambaNya hendaklah sentiasa mematuhi segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Manusia merupakan khalifah Allah dan mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan sama ada tugas kepada Allah, terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, Negara dan makhluk lain.







rujukan
1. AL-QURAN

2. HADIS DAN AS-SUNNAH


3. BUKU : ASAS-ASAS PEMBINAAN INSAN
PENULIS: RUKIAH BINTI MOHAMAD
PENERBIT : PUSAT PENERBITAN UNIVERSITI(UPENA),UITM
TAHUN: 2008

4. LAMAN WEB:
• http://ahlussunnah-jakarta.com/buletin_detil.php?id=29
• http://www.magnifix.com.my/ashairah/index_files/Page1467.htm
sila like,picit je =D
www.tips-fb.com

1 kata-kata semangat:

fitri said... [Reply]

saya recommend kamu utk membaca buku yg best tuh, the choice. ahmad deedat. sgt islam!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

best!!